Guru Nor Edziani Zainal Abidin turut sama memantau murid murid yang menanti kehadiran ibu bapa mereka selepas mendapat arahan sekolah ditutup awal untuk sesi persekolahan disebabkan air mulai naik akibat hujan lebat di Sekolah Kebangsaan Tengkawang. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Sebanyak 24 sekolah membabitkan 4,196 pelajar dan murid serta 544 guru di negeri ini ditutup esok berikutan banjir besar yang melanda sejak pagi tadi.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Shafruddin Ali Hussin berkata, ia membabitkan empat daerah iaitu Setiu, Hulu Terengganu, Kemaman dan Besut.

Katanya, 10 sekolah di Setiu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Menyusut; SK Kampung Fikri; SK Pelong; SK Sungai Las; SK Kampung Besut; SK Kampung Bukit Ulu Nerus; SK Payong Baru; SK Kampong Buloh; SK Chalok dan SK Langkap ditutup.

"Di Hulu Terengganu, terdapat 12 sekolah yang terjejas akibat banjir iaitu SK Felda Mengkawang; SK Padang Selebu; SK Kuala Jenderis; SK Lubuk Periok; SK Bukit Tadok; SK Getang; SK Menerong; SK Cheting; SK Padang Setar; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jenderis dan SMK Tun Indera.

"Dua lagi sekolah yang ditutup adalah di SK Pasir Akar, Besut dan di SK Padang Kubu di Kemaman," katanya.

Menurutnya, semua sekolah terbabit akan ditutup sehingga esok namun pihaknya akan memantau perkembangan terkini di kawasan itu bagi menentukan sama ada proses pembelajaran dapat diteruskan pada Khamis atau tidak.

"Buat masa ini, semua sekolah terbabit ditutup untuk sehari namun sekiranya keadaan tidak mengizinkan kemungkinan pertambahan hari penutupan sekolah akan dilanjutkan dan akan diberitahu kelak.

"Kebanyakan sekolah di kawasan terjejas seperti Hulu Terengganu dan Setiu ditutup lebih awal hari ini untuk menjaga keselamatan pelajar dan guru berikutan keadaan cuaca semakin teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 9:00 PM