Mangsa banjir Kampung Padang Buluh dibawa oleh anggota bomba ke pusat pemindahan banjir di Masjid Kampung Gong Duek. FOTO ROZAINAH ZAKARIA
Zaid Salim
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Keadaan banjir di negeri ini semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 3,472 orang membabitkan 951 keluarga pada 7 malam tadi berbanding 1,879 orang daripada 509 keluarga pada 1 tengah hari tadi.

Sebanyak 58 pusat pemindahan dibuka di enam daerah iaitu Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Setiu, Kemaman dan Marang berbanding hanya 27 pusat pemindahan.

Menurut kenyataan banjir, etindakan.terengganu.gov.my, Besut menjadi daerah terburuk dilanda banjir dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat daripada 774 orang daripada 204 keluarga kepada 1,593 mangsa daripada 424 keluarga yang kini ditempatkan di 24 pusat pemindahan berbanding 12 pusat pemindahan sebelum ini.

Di Hulu Terengganu, seramai 773 mangsa daripada 223 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan berbanding 392 mangsa daripada 110 keluarga di empat pusat pemindahan.

Di Setiu, sebanyak lapan pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan 627 mangsa daripada 176 keluarga berbanding 599 mangsa daripada 167 keluarga di tujuh pusat pemindahan.

Kemaman menjadi daerah terbaru apabila 349 mangsa daripada 95 keluarga dipindahkan di 13 pusat pemindahan.

Di Dungunm jumlah mangsa yang dipindahkan turut bertambah daripada 84 mangsa daripada 18 keluarga kepada 100 mangsa daripada 23 keluarga di tiga pusat pemindahan iaitu SK Durian Mentangau, Dewan Sivik Paka dan SMK Kuala Jengal.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Marang kekal dengan 10 keluarga membabitkan 30 mangsa di satu pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih.

Jumlah mangsa yang dipindahkan dipercayai akanmeningkat berikutan hujan yang tidak berhenti termasuk beberapa kawasan di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 8:55 PM