Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Sulaiman Salleh (kanan) meninjau lokasi buruh binaan Indonesia ditemui mati dengan leher dikelar. - HAIRUL ANUAR RAHIM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Mayat seorang buruh binaan warga Indonesia ditemui mati dengan kesan kelar di leher di hadapan sebuah rumah di Jalan Seri Austin 3/28, Taman Seri Austin di sini, petang tadi.

Mayat lelaki dikenali sebagai Haryanto, 26, itu ditemui tertiarap di depan rumah berkenaan kira-kira jam 1.30 petang sebelum seorang lagi buruh binaan menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat mangsa yang berlumuran darah dan menjalankan siasatan.

"Hasil siasatan awal, kita mendapati mangsa dikelar di leher menggunakan besi tajam yang dipercayai alat melepa simen.

"Alat yang digunakan sebagai senjata itu turut ditemui di lokasi kejadian dengan kesan darah yang banyak," katanya ketika ditemui di rumah berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan pantas polis kemudian berjaya menahan dua lelaki warga Indonesia di sekitar kawasan perumahan terbabit untuk membantu siasatan.

"Kita menahan dua lelaki berusia 20-an yang juga buruh binaan itu dipercayai boleh membantu siasatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti motif pembunuhan ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 7:20 PM