MIMIE bersama bekas suaminya Mohammad ketika mereka melangsungkan pernikahan pada Disember 2015 lalu. - FOTO Arkib NSTP
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bekas peserta program realiti MyStarz LG, Mimie Haris, 26, mengakui sudah bercerai dengan suaminya yang dikenali sebagai Mohammad sejak November tahun lalu.

Mimie, 26, atau nama sebenarnya Norshamimi Ahmad Haris berkata, dia akur apabila jodoh perkahwinannya hanya mampu bertahan selama 11 bulan saja dan menjelaskan perceraian berlaku akibat sudah tiada persefahaman.

Mereka melangsungkan pernikahan pada Disember 2015.

Mimie berkata, dia tidak menyangka percintaannya selepas berkahwin tidak bertahan lama.

"Saya anggap kami sudah tiada persefahaman dan jodoh setakat ini saja. Mungkin nasib saya tidak bertuah seperti orang lain yang bercinta selepas kahwin lebih bahagia.

"Mungkin juga kerana perkahwinan jarak jauh. Saya di Malaysia dan dia di Dubai menyebabkan kami sukar berkomunikasi," katanya.

Mimie berkata, keputusan untuk terus aktif dalam bidang seni menyebabkan dia dan suami sukar meluangkan masa bersama-sama.

"Apabila sering berjauhan dan masing-masing sibuk, kami jadi susah hendak berkomunikasi. Ini menyebabkan kami sukar untuk lebih mengenali hati budi masing-masing.

"Mungkin juga kerana tempoh berkenalan yang terlalu singkat menyebabkan kami belum faham sikap sebenar," katanya.

Mimie sebelum ini pernah muncul dengan lagu Jatuh Cinta Lagi selain berlakon dalam drama siri Kau & Aku di Astro.

Terdahulu, Mimie mengambil keputusan bertunang dengan Mohammad selepas dua bulan berkenalan dan berkahwin pada Disember 2015 selepas tiga bulan mereka bertunang.

Malah, perkahwinan mereka tidak mendapat liputan media berikutan permintaan keluarga sebelah lelaki yang tidak mahukan publisiti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 6:54 PM