Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Mendengar album sulung Syed Shamim sebagai penyanyi solo berjudul Melodi ternyata membuka mata mengenai kemampuan penyanyi berusia 23 tahun itu sebagai penyanyi.

Kalau sebelum ini, namanya yang sinonim dengan lagu ‘catchy’, berduet dengan Tasha Manshahar, kini Syed Shamim membuktikan kemampuannya dalam mengalunkan vokal secara solo dalam album yang menampilkan enam lagu, termasuk lagu Ragu Ragu, duetnya bersama Tasha dalam versi akustik.

Membuka album Melodi dengan dendangan lagu rancak berentak pop, I Love You yang mengimbau lagu pada zaman awal kemunculannya dalam industri.

Pendengar kemudian dibawa ke lagu yang lebih matang, Hidupku Untukmu. Dialun dengan petikan gitar, ‘mood’ pendengar seterusnya berubah apabila muzik lebih keras diperdengarkan, namun melodinya masih boleh dilayan.

Lagu berjudul Cinta Terbaik pula mempersembahkan kemampuan vokal Syed Shamim melantunkan lagu berentak balada. Lagu ini nampaknya mampu menyentuh emosi pendengar yang gemarkan muzik genre sebegini.

Satu lagi lagu yang mempertaruhkan kemampuan vokalnya adalah Belenggu dan juga Larut. Kedua-dua lagu itu memiliki keistimewaan tersendiri dan menampilkan sisi berbeza Syed Shamim.

Trek terakhir, Ragu Ragu bersama Tasha versi akustik ini benar-benar unik apabila ia menampilkan beberapa alatan muzik India. Vokal mereka juga masih dapat digandingkan dengan baik.

Bagi Syed Shamim sendiri, dia mengakui menerusi album itu, ia menampilkan sisi matang dirinya dalam kehidupan dan berkarya.

“Berbanding album dan lagu sebelum ini, bagi menghasilkan Melodi, saya menggunakan khidmat komposer sepenuhnya. Komposer yang terlibat adalah DJ Fuzz, Aiman, Too Hyper Act, Omar K dan Ezra Kong.

“Cabarannya adalah kerana saya lebih dikenali dengan lagu-lagu rancak dan ‘catchy’. Jadi, album Melodi ini lebih berat dengan lagu berentak balada dan mempamerkan sisi matang saya sebagai penyanyi,” katanya lagi.

INFO

• PENYANYI: Syed Shamim

• ALBUM: Melodi

• TERBITAN & EDARAN: FMC Music

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 11:31 AM