Pengarah Pendidikan Terengganu Shafruddin Ali Hussin (kiri) bersama guru besar SK Kampung Besut, Afandi Zakaria (dua, kiri) dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Shansuddin ahmad (kanan) meninjau banjir di sekolah itu
BERNAMA

Kuala Terengganu: Hanya tiga sekolah ditutup esok, iaitu dua di Setiu dan satu lagi di Hulu Terengganu berikutan banjir yang semakin pulih di Terengganu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata, lapan daripada 11 sekolah yang ditutup hari ini boleh memulakan sesi persekolahan 2017 esok apabila laluan ke semua sekolah berkenaan yang ditenggelami air sudah boleh dilalui semua kenderaan.

“Dua sekolah di Setiu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut masih perlu ditutup esok kerana laluan ke sekolah tidak boleh dilalui akibat ditenggelami air manakala SK Sungai Las pula masih ditakungi air.

"Sebuah sekolah di Hulu Terengganu yang ditutup esok, ialah SK Getang kerana baru dinaiki air semula sebentar tadi," katanya.

Menurutnya, penangguhan sesi persekolahan itu membabitkan 50 murid dan 13 guru (SK Sungai Las), 116 murid dan 18 guru (SK Kampung Besut) serta 27 guru dan 151 murid (SK Getang).

"Kita berharap banjir di Terengganu segera pulih agar sesi persekolahan berjalan lancar dan tiga sekolah yang ditutup esok dapat dibuka secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 7:38 PM