ANTARA pasangan ditahan. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Tiga puluh individu termasuk dua wanita berstatus isteri orang ditahan kerana bersekedudukan dalam Operasi Bersepadu Cegah Maksiat di ketuai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), malam tadi.

Operasi selama kira-kira enam jam bermula 11 malam itu, menyaksikan 11 premis iaitu tujuh hotel dan empat rumah urut diperiksa 30 penguatkuasa JAIM bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Rahimin Bani berkata, tangkapan membabitkan 10 pasangan kekasih serta sembilan lelaki yang mendapatkan perkhidmatan di rumah urut.

"Terdapat satu pasangan ditahan ketika bertiga dalam satu bilik iaitu seorang wanita dan dua lelaki, malah ada lima individu di antara 10 pasangan, ditemukan memiliki serbuk putih dipercayai Syabu.

"AADK turut merampas peralatan membabitkan bahan memproses dadah dalam bilik hotel malah kita tidak menolak kemungkinan pasangan ditahan menghapuskan sebahagian barang bukti ke dalam tandas berikutan mengambil masa yang lama untuk membuka pintu bilik," katanya.

Dalam tangkapan itu, beliau berkata, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui dibawa ibunya untuk bermalam di sebuah hotel di bandar raya Melaka, bersama seorang lelaki didakwa saudaranya.

"Semua individu ditahan berusia 21 hingga 56 tahun dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JAIM untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah 1991 atas kesalahan bersekedudukan," katanya lagi.

Tambah beliau, jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda RM3,000 bagi lelaki dan RM2,000 bagi wanita atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 12:01 PM