Pusat operasi dibuka bagi kerja mencari dan menyelamat FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my


Kuantan: Lelaki warga China berusia 32 tahun dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Cherating di sini kira-kira 5 petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.26 petang sebelum tiba 30 minit kemudian dan menggerakkan operasi mencari serta mengesan mangsa.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Peng Xiangyu dipercayai hilang di kawasan pantai terletak berhampiran resort terkemuka.

"Operasi mencari dan menyelamat turut dilakukan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan Tentera Laut Diraja Malaysia," kata jurucakap itu ketika dihubungi.

Hingga kini lelaki terbabit masih belum ditemui dan operasi digiat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 12:00 PM