Reuters

Jakarta: Sekurangnya 23 maut dan 17 lagi masih hilang selepas sebuah feri yang membawa kira-kira 250 penumpang ke sebuah pulau peranginan dekat sini terbakar, semalam.

Polis berkata, feri Zahro Express terbakar tidak lama selepas meninggalkan pelabuhan di Muara Angke di Jakarta Utara menuju ke pulau Tidung, kira-kira 50 kilometer dari Jakarta.

Pihak berkuasa percaya, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas pada generator elektrik kapal berkenaan.

Seorang mangsa, Ardi berkata, tidak lama selepas belayar asap tiba-tiba muncul dan terus menyelubungi bahagian kabin feri.

“Semua penumpang panik dan berlari ke geladak sebelum terjun bersama pelampung.

“Dalam tempoh beberapa saat api terus marak berpunca daripada tangki minyak menyebabkan ramai penumpang terperangkap,” katanya yang menaiki feri itu bersama anak lelakinya.

Satu rakaman video yang disiarkan stesen televisyen negara itu menunjukkan beberapa penumpang terapung di laut dengan feri terbakar di belakang mereka.

Seorang wanita yang terapung dilihat menjerit meminta tolong sambil melaungkan “Ya, Allah, Ya Allah,”.

Feri itu ditunda kembali ke pelabuhan dan wartawan melihat pasukan penyelamat mengeluarkan beberapa mayat mangsa yang rentung di dalam bot berkenaan.

Ketua agensi mencari dan menyelamat Jakarta, Hendra Sudirman berkata, seramai 248 penumpang berada di dalam feri ketika kejadian berbanding laporan awal yang mengatakan 100 orang.

“Lebih 200 penumpang berjaya diselamatkan dan seramai 32 lagi cedera serta terpaksa di rawat di hospital,” jelasnya.

Menurutnya, angka kematian dijangka meningkat kerana pasukan mencari dan menyelamat masih mencari mangsa yang hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 7:41 AM