Kenderaan mengharungi banjir di laluan utama Kampung Bukit Tadok. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Terengganu terus menunjukkan penurunan kepada 1,766 orang berbanding 2,947 orang pada jam 3 petang tadi.

Sehingga jam 7 malam, semua mangsa yang terdiri daripada 590 keluarga berbanding 954 keluarga masih ditempatkan di 27 pusat pemindahan berbanding 37 pusat pemindahan di Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman dan Marang.

Menurut kenyataan banjir, etindakan.terengganu.gov.my, daerah Hulu Terengganu masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 935 mangsa daripada 376 keluarga di lapan pusat pemindahan berbanding 1,845 orang daripada 675 keluarga di 16 pusat pemindahan.

Di Marang, berlaku peningkatan mangsa kepada 576 orang daripada 155 keluarga berbanding hanya seramai 500 orang mangsa daripada 137 keluarga ditempatkan di 12 pusat pemindahan.

Selain itu, mangsa banjir di Kemaman turut menunjukkan penurunan apabila hanya 145 mangsa daripada 33 keluarga di tiga pusat pemindahan berbanding 463 mangsa daripada 108 keluarga di tempatkan di empat pusat pemindahan.

Jumlah mangsa banjir di Dungun turut menurun apabila hanya 87 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau dan Dewan Sivik Paka berbanding 117 orang mangsa daripada 28 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan selepas pusat pemindahan di Surau Besol Lama ditutup.

Di Setiu, hanya 23 mangsa daripada enam keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Dewan Sivik Sungai Tong dan Balai Raya Kampung Bukit Nenas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 8:36 PM