BEBERAPAsukarelawan Orang Kuala Berang (OKB) memindahkan peralatan pembelajaran kelas pra sekolah selepas kelas itu dinaiki air di Sekolah Kebangsaan Getang. FOTO Bernama
BERNAMA

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 1,220 orang daripada 278 keluarga pada tengah hari berbanding 1,823 orang daripada 474 keluarga pagi tadi.

Tiga pusat pemindahan turut ditutup tengah hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Zainuddin Hussin berkata, tiga pusat pemindahan berkenaan membabitkan dua pusat di Kuala Krai iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bedal dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keroh manakala sebuah lagi di Tanah Merah iaitu SK Lawang.

"SK Bedal sebelum ini menempatkan 397 mangsa daripada 121 keluarga, SMK Keroh menempatkan 35 mangsa daripada 20 keluarga manakala SK Lawang menempatkan 171 mangsa daripada 55 keluarga," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu tiga sungai utama di Kelantan menunjukkan penurunan paras air pada tengah hari, menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my.

Sungai Galas di Dabong menurun kepada 36.09 meter berbanding 36.40 meter. Paras bahaya bagi sungai berkenaan adalah 38 meter. Sungai Lebir di Tualang pula berada di paras 31.76 meter berbanding 31.98 meter (paras amaran 35 meter) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai pada paras 24.70 meter berbanding 24.82 meter (paras amaran 25 meter). Bagaimanapun, Sungai Golok di Rantau Panjang terus meningkat kepada 8.97 meter berbanding 8.83 meter (paras amaran 9 meter).

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu pada tengah hari tadi mencatat sedikit penurunan iaitu 3,261 orang berbanding 4,026 orang pada 8 pagi tadi.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui portal info banjir melaporkan sembilan pusat pemindahan juga sudah ditutup menjadikan jumlah terkini sebanyak 43 berbanding 52 pusat pemindahan yang masih beroperasi pada 8 pagi tadi.

"Hulu Terengganu yang paling teruk terjejas juga mencatat penurunan jumlah mangsa banjir iaitu 1,840 orang berbanding 2,268 orang pagi tadi.

"Lapan pusat pemindahan di daerah itu sudah ditutup dan sebahagian mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah setelah banjir yang melanda persekitaran rumah mereka surut pagi tadi," menurut portal itu.

Ketika ini 521 mangsa daripada 138 keluarga masih berada di 13 pusat pemindahan di Marang, 463 mangsa daripada 108 keluarga di empat pusat pemindahan di Kemaman manakala di Besut, lima pusat pemindahan masih dibuka yang menempatkan 299 mangsa daripada 72 keluarga.

Di Dungun pula, 117 mangsa daripada 28 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan dan mangsa paling sedikit ketika ini ialah di Setiu hanya 21 orang daripada enam keluarga yang berada di dua pusat pemindahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 2:54 PM