ANTARA kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Seremban: Penunggang motosikal maut manakala lima cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 265.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, berhampiran susur Seremban, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, Abdol Mohtee Nursedeg, 22, yang menunggang motosikal dari Klang ke Port Dickson dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh penghadang jalan.

Kenderaan peronda PLUS yang tiba di lokasi mengawal lalu lintas, namun dirempuh Perodua MyVi yang dinaiki dua lelaki dan tiga wanita.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md Munawir Md Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.10 pagi sebelum sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi.

"Bomba menjalankan operasi mengeluarkan pemandu dan seorang penumpang Perodua Myvi yang tersepit. Tiga lagi penumpang dikeluarkan dengan bantuan orang awam.

"Semua mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk rawatan. Penunggang motosikal yang maut juga dibawa ke HTJ untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 2:39 PM