ADIK Mohd Al-Fatah Shahzwan, 2, yang tidak memiliki saluran oksigen ke jantung sejak lahir memerlukan bantuan membiayai kos rawatan pembedahan. FOTO Effendy Rashid
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my


Ipoh: Kanak-kanak yang dilahirkan tanpa saluran oksigen ke jantung, memerlukan bantuan orang ramai untuk membiayai kos rawatan pembedahannya yang mencecah hampir RM80,000.

Adik Mohd Al-Fatah Shahzwan Abdullah, 2, dari Pangsapuri Permai Lake View, Tambun, di sini, perlu menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara bulan depan.

Ibu kanak-kanak itu, Hasnah Noordin 36, berkata anaknya perlu menjalani pembedahan beberapa kali sehingga dewasa dan setakat ini sudah dibedah tujuh kali.

“Doktor mengatakan anak saya perlu melalui tiga tahap pembedahan untuk sembuh sepenuhnya di mana pembedahan yang akan dijalankan bulan depan masih pada tahap pertama.

“Kesemua pembedahan sebelum ini serta pada Februari depan dilakukan di IJN dan kali ini dijangka memerlukan kos kira-kira RM80,000,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, hari ini.

Hasnah berkata, kos pembedahan anak ketujuhnya dari lapan beradik itu sebelum ini ditampung menerusi pembiayaan Baitulmal selain sumbangan beberapa pihak termasuk syarikat korporat dan saudara-mara yang menghulurkan sumbangan selepas penderitaan anaknya itu disebarkan melalui media sosial.

“Namun kali ini saya dan suami kehilangan segala punca untuk mencukupkan jumlah yang dikehendaki bagi meneruskan pembedahan,” katanya.

Menurutnya, pendapatan suaminya, Mohd Rashid Abdullah, 33, sebagai pemandu teksi selain dirinya sebagai suri rumah sepenuh masa tidak memungkinkan kos pembedahan itu dapat dipenuhi.

“Setiap hari suami perlu membayar sewa teksi RM50, manakala kos rawatan berupa ubatan serta susu khas bagi Mohd Al-Fatah Shahzwan sahaja melebihi RM600 sebulan hingga menyebabkan dua anak saya terpaksa berhenti sekolah.

“Ini belum termasuk kos menjaga anak-anak dan ibu yang menghidap kencing manis sehingga sebelah kakinya terpaksa dipotong dan memerlukan belanja bagi lampin pakai buang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 2:31 PM