Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Bertuahnya anak pelakon Lana Nodin, Gia Quinn McKienzie kerana usia belum mencecah setahun, sudah berpeluang mengelilingi dunia.

Pada usianya lapan bulan, Gia sudah menjejakkan kaki di benua Amerika, Asia dan Asia Tenggara. Baru-baru ini Lana bersama suami, David McKienzie membawa permata hati mereka ke Australia dan China.

Kekerapan Lana dan David membawa Gia ke luar negara sama ada disebabkan tuntutan tugas, bertemu keluarga mahupun bercuti membuatkan sesetengah pihak terutama golongan ibu tertanya-tanya bagaimana Lana boleh membawa anaknya dengan tenang mengelilingi dunia.

Bagaimana pula situasi Gia, dalam usia yang belum mencecah setahun harus berdepan dengan situasi tidak menentu di negara yang dilawati.

Mampukah Gia berhadapan dengan situasi ‘jetlag’ dan cuaca tidak menentu di sesebuah negara dilawati terutama situasi minggu lalu sebaik sahaja menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, (KLIA) di Sepang, jam tiga pagi pulang dari Sydney, Australia dan pada sebelah petang hari yang sama, Lana sekeluarga berada di tempat itu lagi untuk ke Guangzhou, China pula.

Berkongsi cerita mengenai Gia, Lana atau Mazlina Hasan Nodin, 36, akui mungkin disebabkan sudah terbiasa sejak kecil membuatkan anak perempuan tunggalnya tidak pernah memberi masalah.

Katanya, mungkin juga disebabkan memiliki darah campur membuatkan tubuh Gia tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan udara tempat asing.

“Saya sebenarnya bimbang juga dengan situasi Gia tetapi selepas beberapa kali berulang-alik dari kampung bapanya di California, Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur dan melihatkan situasinya yang baik-baik sahaja membuatkan kami tidak lagi berasa bimbang,” katanya.

Kata Lana, dia tahu ramai bertanya mengenai situasi anaknya apabila harus mengikut ayah menyertai pertandingan bola tampar peringkat antarabangsa di beberapa negara berbeza.

“Ramai memuji Gia terutama anak kapal pesawat yang kami naiki. Kata mereka, Gia anak yang kuat. Malah sepanjang penerbangan walaupun mengambil masa 22 jam, dia langsung tidak meragam.

“Saya bertuah kerana Gia sangat memahami akan tugas bapa dan ibunya yang harus selalu terbang ke negara berbeza,” katanya.

Lana yang pulang ke tanah air selama seminggu baru-baru ini, terbang pula ke Sydney kerana suaminya harus menyertai pertandingan bola tampar untuk sirkit dunia di sana.

Katanya, memandangkan sudah sampai ke Sydney dan tempoh pertandingan mengambil masa seminggu, dia menggunakan peluang itu untuk untuk bercuti dan membawa Gia berjalan-jalan.

“Kata orang sambil menyelam minum air. Kemudian kami ke Guangzhou pula tetapi sebenarnya ada kesilapan hingga salah percaturan disebabkan salah melihat tarikh.

“Sepatutnya kami ke Guangzhou sehari selepas pulang dari Australia tetapi sebaik saja menjejakkan kaki di Kuala Lumpur, David sengaja membelek kembali jadual dan tiket ke China yang ditempah awal. Dia terkejut rupa-rupanya penerbangan yang ditempah adalah pada hari yang sama.

“Kelam-kabut juga kami dibuatnya. Bayangkan kami anak beranak tidak sempat tidur pun. Sebaik pulang terus bergegas mengemas bagasi dan keluar semula untuk ke lapangan terbang.

“Mujur Gia tidak meragam atau terasa ‘jetlag’ tetapi saya risau juga dengan situasi yang berlaku akan memberi kesan terhadapnya,” katanya.

Ada bakat jadi model iklan

Seperti juga pemergian mereka sekeluarga ke Sydney, selain bercuti Lana menggunakan peluang ke Goungzou untuk mencari barang perniagaannya.

Dia akui memang sekarang kerap kembali ke tanah air kerana perniagaan yang diusahakan bersama suami.

Katanya, ia semakin berkembang dan banyak juga permintaan untuknya menyertai beberapa festival dan bazar bagi mempromosikan barangan yang dijual.

“Alhamdulillah, ini semua rezeki untuk Gia. Waktu sama, saya juga sibuk menjalani penggambaran beberapa program TV yang mahu menampilkan kami sekeluarga.

“Gia juga kini mula menjadi perhatian apabila ada beberapa syarikat seperti lampin pakai buang dan barangan bayi yang mahu melamarnya menjadi duta dan juga tampil dalam iklan TV yang mahu dihasilkan.

“Walaupun usia belum setahun, Gia mula menunjukkan ciri-ciri mahu mengikut langkah saya menceburi bidang seni. Bayangkan kalau tunjuk sahaja kamera dia sudah pandai menunjukkan aksi,” katanya.

Lana juga terharu kerana anaknya mula menunjukkan minat pada lakonan. Katanya, kalau disuruh buat memek muka menangis mahupun ketawa, dia pandai mengikut memek muka yang ditunjukkan.

“Kalau sudah ada rezeki untuk Gia, saya dan David tidak menghalang asalkan saja jadual kerja tidak terlalu teruk. Kalau buat iklan, saya masih lagi pertimbangkan kerana penggambaran dilakukan pun tidak memakan masa. Paling lama pun tiga hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 5:08 AM