DORINA Martinovics.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

Perjalanan seni aktres Hungary, Dorina Martinovics, 35, tidak selancar rakan lain walaupun sudah lama bergiat dalam industri itu.

Mula aktif dalam lakonan teater, Dorina tidak mengehadkan kariernya hanya di teater sebaliknya beberapa kali cuba berlakon filem. Bagaimanapun, namanya belum cukup menyinar.

Dia juga tidak kesah diberi watak kecil asalkan dapat peluang memperkenalkan diri. Meninggalkan Teater Kebangsaan adalah keputusan paling besar dalam hidupnya.

Katanya, dia mengambil langkah berani itu bagi memberi lebih tumpuan kepada karya-karya untuk layar perak.

“Bukan populariti yang saya kejar sebaliknya mahu mengembangkan bakat menerusi medium seni yang lain. Apabila berada dalam satu tahap yang sama bertahun-tahun lamanya, seseorang itu rasa selesa hingga tidak perlu berusaha keras seperti ketika awalnya.

“Situasi ini sangat bahaya untuk mana-mana artis. Jika mereka terlalu selesa, mereka akan mula memandang setiap komitmen itu sebelah mata. Tidak semua tetapi saya sendiri antara mereka yang mula memandang ringan setiap karya teater.

“Sembilan tahun bergiat dalam teater, saya boleh katakan arif dengan selok-belok teater. Saya tidak ada masalah untuk menghafal skrip, sudah tahu gerak tubuh, mimik muka dan keterbatasan ketika berada di pentas.

“Perkara inilah yang membuatkan saya ingin mencuba benda baru. Syukur kerana walaupun latar belakang saya adalah teater, masih ada produser dan pengarah memberi peluang berlakon dalam filem mereka,” katanya.

Sepanjang menyertai Teater Kebangsaan, Dorina berjinak-jinak dengan penggambaran filem dan drama. Kehadirannya mula disedari selepas memegang watak kecil dalam filem Has Passenger.

Lakonan dalam Board Games yang juga siri Hungary pertama ditayangkan di HBO menjadi titik permulaan buat Dorina diintai untuk berlakon filem dan drama.

Lakonannya memegang watak protagonis sebagai Lena Havas sungguh meyakinkan sehingga dikekalkan untuk musim seterusnya. Walaupun hanya watak pembantu, Dorina tetap gembira dengan pencapaiannya.

“Kenapa saya perlu memilih? Setiap karya itu mempunyai potensi tersendiri untuk menaikkan lagi nama saya sebagai pelakon arus perdana.

“Mungkin ada yang tidak menyukai karya itu termasuk lakonan saya tetapi ada sebilangan kecil yang mungkin boleh menerima saya,” katanya.

Dorina juga sedar tidak semua kejayaan itu dimulakan dengan sesuatu yang manis.

Katanya, dia juga tahu tidak ramai yang dijulang tinggi dengan hanya cubaan pertama.

“Saya perlu bekerja keras agar umum melihat kehadiran saya sebagai pelakon filem serta drama dan bukan sekadar di pentas teater.

“Ramai masih menganggap teater hanya medium seni yang kecil. Sehebat manapun pelakon itu, apabila bercakap mengenai teater dia akan hanya berada di tahap itu sampai bila-bila,” katanya.

Apapun Dorina bangga kerana ramai pelakon yang berjaya bermula dengan teater dan berharap dapat menempa kejayaan seperti mereka.

Katanya, dia memilih untuk meneruskan kerjaya lakonan dalam filem dan drama bukan kerana teater tidak boleh menawarkan perkara sama seperti layar perak dan televisyen.

“Saya sebenarnya mempunyai impian untuk dikenali sebagai pelakon serba boleh. Saya mahu menjadi pelakon yang mampu menguasai pentas teater, layar perak dan televisyen.

“Ketiga-tiga saluran seni itu mempunyai cabaran dan corak unik dalam menyampaikan watak diberikan, justeru saya mencabar diri sendiri untuk muncul dalam semua saluran seni,” katanya.

Dorina juga akui populariti tidak pernah menghantui dirinya. Dia sekadar menanam azam untuk terus memperkembangkan bakat selagi ada ruang berbuat demikian.

“Saya percaya populariti tidak langsung menjadi garis pengukur bakat seseorang. Lihat sahaja pada acara anugerah berprestij seperti Academy. Semua dicalonkan memang popular tetapi adakah mereka cemerlang dalam setiap karya yang mereka lakonkan?

“Bakat adalah asas penting untuk menjadi pelakon. Cemerlang dalam setiap karya lakonan adalah perkara yang sukar untuk dilakukan. Populariti pula tidak akan datang sekelip mata.

“Andai sahaja saya seorang yang popular, tanpa bakat saya tidak mungkin diberi kepercayaan untuk berlakon dalam karya skala besar,” katanya.

Dorina gembira apabila 2016 menjadi permulaan baharu buatnya apabila memegang watak utama dalam filem Hurok (Loop). Lakonannya mendapat maklum balas positif daripada penonton.

Mereka yang ingin melihat lakonan Dorina, saksikan Hurok yang tersiar menerusi Astro 130, jam 4 petang ini. Ia mengisahkan sepasang kekasih yang mengkhianati bos mereka tetapi terperangkap dalam ruang masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 5:04 AM