Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Kampar: Lelaki lelaki rentung, manakala bapa saudaranya cedera dalam kebakaran di rumah di Taman Aman, Mambang Diawan, di sini, hari ini.

Lee Chai Hoong, 39, maut manakala bapa saudaanya, Lee Swee Kam, 57, melecur pada tangan dan kaki dalam kejadian 10.30 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Meor Mohd Ali Meor Hussien, berkata pihaknya menerima maklumat pada 10.39 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi mereka mendapati api sedang marak membabitkan hampir 70 peratus rumah mangsa.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal kira-kira 30 minit kemudian dan mayat mangsa ditemui rentung dalam sebuah bilik di rumah papan berkenaan.

"Pasukan bomba dengan dua jentera dari Balai Bomba Kampar dan sebuah jentera tangki air dari Bomba Tapah membabitkan keseluruhan 14 pegawai dan anggota menjalankan operasi memadam kebakaran itu.

"Mangsa yang maut ditemui sudah rentung manakala bapa saudaranya berjaya menyelamatkan diri dan keluar dari rumah namun mengalami melecur," katanya ketika dihubungi hari ini.

Meor Mohd Ali berkata, punca dan jumlah kerugian masih disiasat, namun berdasarkan makkumat diperoleh mangsa tinggal berdua bersama bapa saudaranya dan dipercayai mengalami masalah mental.

Katanya, operasi tamat pada 12.40 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 4:31 PM