BOT bersama tekong dan tiga awak-awak yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


Kuala Kedah: Bot nelayan tempatan kelas B1 ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kerana memukat ikan kurang lapan batu nautika dari pantai di sini, hari ini.

Bot nelayan terbabit ditahan oleh bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pangkalan Maritim Kuala Kedah pada 10.50 pagi tadi.

Pengarah Maritim Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan seorang tekong bersama tiga awak-awak warga Malaysia berada di atas bot terbabit.

Katanya, semua mereka berusia lingkungan 20 hingga 46 tahun dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen dengan memukat ikan kurang dari 8 batu nautika dari pantai.

"Bot berkenaan ditahan bersama hasil tangkapan ikan anggaran 600 kilogram dan dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, minggu lalu, pihaknya turut menahan bot nelayan kelas B1 kerana melakukan kesalahan sama dan di lokasi yang berhampiran dengan tangkapan pada hari ini.

"Sehubungan itu, saya menasihati pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang yang disyaratkan di dalam lesen yang diberikan.

"Maritim Malaysia Pangkalan Maritim Kuala Kedah akan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah yang melanggar undang-undang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 6:10 PM