Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penuntut jurusan kejuruteraan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini, atas pertuduhan mendatangkan cedera terhadap anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman menggunakan pisau sehingga perut mangsa terburai, Isnin lalu.

Bagaimanapun, tertuduh R Yohaaraj, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap Mohd Arif Azman, 26, yang juga konstabel di Lobi Tower A Selayang Point Condo, Jalan SP1, Batu Caves, Gombak di sini pada 4.30 pagi, 26 Disember lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Pada Isnin lalu, seorang anggota UTK Bukit Aman parah dengan ususnya terburai selepas ditoreh dengan senjata tajam di lobi Menara A, Kondominium Selayang Point.

Dalam kejadian itu, mangsa bersama tiga rakannya memasuki restoran berkenaan untuk menjamu selera sebelum berlaku salah faham dengan dua lelaki lain sehingga tercetus pergaduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 12:55 PM