ZOHARI mengagihkan cenderahati kepada penumpang terawal yang menaiki tren generasi baru.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) terus menyuntik pelaburan sebanyak RM577.5 juta untuk menambah 14 unit tren tambahan Kuala Lumpur (KLAV) bagi laluan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya yang memulakan operasi sulungnya, semalam.

Kos yang dilaburkan itu bagi membeli tren generasi baru model Bombadier Innovia Metro 300 yang memiliki reka bentuk baru serta struktur sisi melengkung dan bercirikan estitek moden manakala reka bentuk dalaman setiap unit tren empat gerabak itu diperbaharui dengan suasana lebih menarik dan moden.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman berkata, sistem menaik taraf bilangan tren itu dilakukan secara berperingkat dengan permulaan dua unit pada bulan ini dan dijangka dapat dimuktamadkan sepenuhnya menjelang pertengahan 2017, sekali gus mampu meningkatkan kapasiti penumpang LRT laluan berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini, kadar peratusan muatan penumpang yang menggunakan LRT di Laluan Kelana Jaya melebihi 150 peratus dan dengan adanya penambahan 14 unit itu membantu mengurangkan kadar berkenaan kepada tidak lebih 100 peratus.

“Penambahan unit tren baru dijangka turut menambah bilangan penumpang kepada lebih 300,000 penumpang sehari pada tahun depan berbanding 260,000 penumpang setakat ini. Dari segi waktu kekerapan perjalanan juga akan dipendekkan dari 3.5 minit ketika ini kepada tiga minit tahun depan.

“Selain itu, tren baru ini memudahkan Prasarana melaksanakan kerja menyelenggara sekiranya ada masalah teknikal pada satu tren dan tidak mengganggu tren lain yang sedang beroperasi,” katanya selepas menyertai sesi operasi hari pertama tren generasi baru RapidKL Laluan Kelana Jaya, di sini, semalam.

Pada masa ini, LRT laluan Kelana Jaya beroperasi dengan kombinasi empat gerabak dan dua gerabak dengan purata 48 unit tren setiap hari pada waktu kemuncak manakala tren baru empat gerabak itu akan menggantikan dua gerabak sedia ada yang mana kapasiti tren dua gerabak hanya boleh membawa 472 penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 7:47 AM