FAIZ sekeluarga berbesar hati akan ke Zurich.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpu: Mohd Faiz Subri yang tercalon dalam senarai tiga finalis akhir Anugerah Puskas FIFA 2016 mengakui cukup teruja menantikan tarikh 9 Januari depan yang hanya berbaki 10 hari.

Dia yang akan berangkat ke Zurich, Switzerland bersama ahli keluarganya dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Januari, jam 10.15 pagi dan pulang ke tanah air, 11 Januari, jam 3.15 petang.

Katanya, debaran menghadiri anugerah itu semakin memuncak dan berharap mampu dinobatkan pemenang sekali gus muncul pemain Asia pertama memenangi anugerah itu.

“Semakin dekat tarikh anugerah, hati saya makin berdebar. Rasanya lebih berdebar daripada majlis pernikahan dulu, mungkin sebab harapan yang terlalu tinggi diletakkan di bahu saya.

“Namun saya tidak letakkan sasaran tinggi kerana tercalon dalam tiga senarai akhir ini sudah cukup baik,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Pada 2 Disember lalu, FIFA menerusi laman web rasminya www.fifa.com mengumumkan gol ajaib Faiz tersenarai antara tiga calon akhir untuk Anugerah Puskas bersama pemain kelab Corinthians dari Brazil, Marlone dan pemain wanita Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Pemain Pulau Pinang itu tercalon melalui jaringan hasil tendangan percuma pada aksi Liga Super ketika pasukannya menentang Pahang di Stadium Bandaraya, Februari lalu.

Pada majlis itu nanti, Faiz bakal ditemani isteri Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan, lapan bulan.

Malah, pemergian mereka turut ditemani Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah dengan badan induk bola sepak negara itu sendiri menaja tiket penerbangan Faiz dan keluarganya.

Berkongsi persediaan keluarganya ke Zurich, Faiz mengakui bimbang mengenai cuaca sejuk di bumi Eropah ketika ini.

“Kami sekeluarga sudah mendapatkan baju sejuk bagi perjalanan ke sana. Maklumlah cuaca di sana tak sama dengan Malaysia, saya harap keadaan sejuk itu tidak menjejaskan kesihatan anak nanti,” katanya.

Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.

Sejak pertama kali diperkenalkan pada 2009, anugerah bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun dimenangi beberapa bintang dunia. antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar Jr dan James Rodriguez.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 5:30 AM