Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

Ipoh: Kerajaan negeri Perak menukar ejaan nama daerah Bagan Datoh kepada Bagan Datuk sejajar dengan statusnya sebagai daerah baru di Perak.

Keputusan itu dibuat dalam sidang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak, Bilangan 1879 pada 22 November lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan ketika dihubungi hari ini, mengesahkan pertukaran ejaan nama itu yang sejajar statusnya sebagai daerah ke-12 di Perak.

Keputusan itu turut diumumkan melalui surat pemakluman pertukaran nama berkenaan yang diedarkan kepada semua EXCO, Ahli Dewan Negeri, Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Ketua Eksekutif Badan-Badan Berkanun dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan.

Surat dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 22 Disember lalu itu ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Abu Bakar Said, bagi pihak Abdul Puhat yang meminta penggunaan ejaan baru berkenaan digunapakai dalam urusan jabatan dan agensi masing-masing.

Sementara itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijangka berkenan berangkat ke Bagan Datuk pada 9 Januari ini, bagi mengisytiharkan daerah itu sebagai daerah baru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 4:34 PM