KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Bidor: Seorang lelaki maut manakala tiga yang lain cedera selepas kenderaan jenis Toyota Harrier dinaiki terbabit kemalangan dengan lori 10 tan membawa muatan daging sejuk beku di kilometer 353.5 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Bidor, hari ini.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa berusia 30-an maut ditempat kejadian manakala tiga yang lain termasuk pemandu kenderaan pelbagai guna itu cedera.

KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba

Difahamkan, pemandu dan kelindan lori turut mengalami kecederaan dan kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, Mohd Nadzir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.12 pagi sebelum satu jentera bersama enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, anggota mendapati kesemua mangsa sudah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan tiada mangsa yang tersepit.

"Pasukan perubatan yang tiba mengesahkan seorang mangsa lelaki berusia 30-an maut sebelum mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.

"Kesemua mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan dan anggota membuat kerja-kerja pemantauan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan jam 7 pagi," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 9:10 AM