MANGSA menunjukkan laporan polis apabila mendapat panggilan palsu daripada sindiket penipuan mengenai transaksi pengeluaran tidak wujud. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Polis Johor Bahru Utara (JBU) menerima tujuh laporan berkaitan penipuan 'Macau Scam' membabitkan sindiket menyamar pegawai bank dan polis dengan kerugian RM35,200 yang dilaporkan tiga mangsa dalam tempoh seminggu.

Ketua Polis Daerah JBU, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, sindiket berkenaan dikesan menggunakan modus operandi sama terhadap mangsanya serta mendakwa mangsa terbabit dengan transaksi tidak dibenarkan.

"Mereka akan memperkenalkan diri sebagai pegawai bank dan pegawai polis yang memberitahu kononnya akaun mangsa mempunyai masalah dan terbabit dengan transaksi yang tidak dibenarkan.

"Mereka juga akan mengugut serta mengambil tindakan undang-undang ke atas mangsa sekiranya tidak mengikut arahan iaitu memasukkan wang ke dalam akaun pihak ketiga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Taib berkata, dalam tempoh seminggu tujuh laporan polis dibuat pemilik akaun bank di IPD JBU.

"Mangsa mendakwa dihubungi sindiket ini dengan modus operandi sama.

"Hasil laporan itu tiga daripadanya terpedaya dan mengalami kerugian berjumlah RM35,200," kataya.

Sehubungan itu katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya mengabaikan panggilan seperti itu.

"Sekiranya menerima panggilan daripada pihak berkenaan terus hubungi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD JBU bagi pertanyaan lanjut.

"Mangsa boleh menghubungi di talian 07-5605600 atau berhubung terus dengan Asisten Superintendan Fazli Md Rashid di talian 012-7817047," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Akhbar ini hari ini melaporkan mengenai taktik licik sindiket penipuan memperdayakan mangsanya apabila dikesan menggunakan institusi perbankan dan polis sebagai modus operandi di dalam membuat panggilan palsu mengenai transaksi pengeluaran tidak wujud bagi mengumpan mangsanya.

Malah, mangsa ditakutkan kononnya ada pengeluaran dilakukan melalui akaun bank dalam jumlah besar sebelum diminta berhubung dengan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPPKL) bagi siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 11:58 AM