SENI digital menjadi pilihan Boon Han kerana dia gemar berkarya menggunakan kaedah dan medium digital yang dikatakan lebih mudah serta cepat untuk dikendalikan.
BOON Han mengambil masa dua minggu bagi menyiapkan sesebuah karya digital.
KARYA lukisan digital bertajuk 'Jungle Boy' yang dihasilkan Boon Han.
Nor Hanisah Kamaruzaman
am@hmetro.com.my

Menghayati lukisan bertajuk ‘Jungle Boy’ hasil kerja tangan artis muda ini, penulis berpendapat karya lukisan menggunakan kaedah dan medium digital itu pastinya dihasilkan dengan penuh teliti.

Bagi Yau Boon Han, 25, lukisan dihasilkan itu begitu dekat dengan dirinya kerana menggambarkan pengalaman hidupnya.

“Kalau lihat pada gambar ini nampak seperti budak lelaki itu kesunyian kerana dia berseorangan tapi apa yang ingin saya sampaikan adalah sebaliknya.

“Hujan itu melambangkan kesedihan kerana dia jauh dari keluarga dan suasana hutan sebagai latar melambangkan ketenangan kerana sebenarnya dia cuba mencari ketenangan serta berikhtiar menyesuaikan hidup sendiri,” katanya.

Boon Han turut memenangi tempat pertama dalam Inisiatif Seni Nando’s 2016 kategori seni digital bagi karya berkenaan.

Artis muda berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini berkata, penghasilan karya seni digital menjadi pilihan kerana menjimatkan kos.

“Saya memang suka melukis sejak kecil dan terus mengembangkan bakat itu seiring dengan masa.

“Saya lebih cenderung melukis secara digital kerana menjimatkan duit dan masa.

“Selain itu, dari segi proses pula ia kurang ‘messy’ atau bersepah dan lebih mudah untuk menukar tekstur atau penggunaan cahaya dengan hanya membuka lapisan baru dalam lukisan itu,” katanya.

Boon Han mengambil masa dua minggu bagi menghasilkan sesebuah karya dan memperuntukkan beberapa jam sehari selepas waktu kerja.

“Saya hasilkan karya seni secara sambilan kerana bekerja pada siang hari, jadi saya ambil masa beberapa jam pada waktu malam manakala pada hujung minggu saya akan tumpukan lebih banyak masa,” katanya.

INFO

• NAMA: Yau Boon Han

• UMUR: 25 tahun

• PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda dalam Rekaan Media Digital dari Swinburne University of Technology, Melbourne Australia

• FB: Bhan Yao

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 9:31 AM