ANGGOTA HAZMAT memeriksa tangki berisi asid nitrik. FOTO ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Seremban: Lori membawa muatan asid nitrik untuk dihantar ke Melaka terpaksa menghentikan perjalanan selepas tangki berkenaan bocor di Kilometer 249.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, berhampiran Hentian Senawang, malam tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.43 malam sebelum sebuah jentera dan pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) ke lokasi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati tangki memuatkan 1,400 kilogram asid nitrik itu retak di bahagian atas dan kandungannya meruap keluar.

"Kita dapati tiada tumpahan berlaku, namun kita mengarahkan bahan itu dialihkan ke tangki lain sebelum meneruskan perjalanan kerana dikhuatiri boleh berlaku tumpahan.

"Kita meminta pemandu meletakkan lori di Hentian Senawang sementara menunggu penghantaran tangki lain oleh pihak syarikat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemindahan bahan itu akan dilakukan pagi ini oleh pihak syarikat dengan pengawasan bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 9:14 AM