Keadaan tanah runtuh di belakang dua rumah di Kampung Sungai Rumput, Batu 14, petang tadi. FOTO ihsan bomba
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tiga belas penghuni dua rumah di Kampung Sungai Rumput, Batu 14, di sini berdepan detik cemas apabila berlaku tanah runtuh di bahagian belakang kediaman mereka, 2.24 petang tadi.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima maklumat yang disalurkan orang awam kepada anggota mengenai kejadian tanah runtuh.

Katanya, sepasukan anggota bersama satu jentera ke lokasi bagi bantuan.

"Apabila tiba dilokasi, anggota mendapati tanah runtuh berlaku di bahagian belakang dua unit rumah dilereng bukit dengan kecuraman 85 darjah dan ketinggian 30 meter.

"Kejadian menyebabkan bilik air sebuah rumah runtuh tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penghuni.

"Siasatan dilakukan mendapati terdapat 13 individu termasuk enam kanak-kanak mendiami dua kediaman terbabit dan mangsa di bawa keluar untuk ditempatkan dikawasan selamat," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 7:57 PM