Dr Mohd Lutpiyudin (kiri sekali) diiringi Mohd Nasir (tengah) dan Dr Azlina (kanan) menandatangani plak sebagai gimik perasmian Hari AIDS Sedunia Peringkat Daerah Langkawi di Klinik Kesihatan Kuah, sebentar tadi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Sebanyak 10 kes jangkitan HIV/AIDS kebanyakannya berpunca daripada hubungan seks dan berkongsi jarum dadah dikesan di daerah ini dalam tempoh Januari hingga awal bulan ini.

Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi Dr Mohd Lutpiyudin Azidin berkata, sebahagian besar kes itu membabitkan golongan belia berusia 20 hingga 29 tahun iaitu sebanyak 40 peratus.

"Bagaimanapun statistik baharu itu menunjukkan gejala itu berlaku penurunan apabila berkurang sebanyak lima kes, berbanding 15 kes dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu.

"Laporan juga menunjukkan punca utama jangkitan HIV/AIDS sudah berubah, daripada berkongsi jarum untuk dadah kepada hubungan seksual," katanya selepas merasmikan Hari AIDS Sedunia Peringkat Daerah Langkawi di Klinik Kesihatan Kuah di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (AIDS/STI) Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Azlina Azlan dan Setiausaha Persatuan Cahaya Harapan Kedah/Perlis (PCHKP), Mohd Nasir Ismail.

Seramai 50 peserta menghadiri program sehari anjuran PCHKP yang diserikan dengan majlis bacaan Yasin, ceramah dan sesi perkongsian hidup oleh pesakit AIDS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 3:50 PM