Kabel yang tersangkut pada lori simen menyebabkan tiang lampu tumbang menghempap 16 kereta. - Foto Ihsan Bomba
BERNAMA

Ipoh: Enam belas kenderaan rosak dihempap dua tiang lampu yang tumbang akibat diseret lori simen di Laluan Saujana 1 dekat Batu Gajah, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi ketika lori itu dalam perjalanan dari Batu Gajah menuju Ipoh.

"Ketika melalui deretan kedai kereta terpakai di lokasi kejadian, bahagian atas penutup tangki lori itu dipercayai tersangkut pada satu wayar yang merentang jalan.

"Lori itu tanpa disedari pemandunya terus menarik kabel berkenaan sehingga menyebabkan dua tiang lampu patah sebelum tumbang ke atas 16 kenderaan berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata semua kereta terpakai itu rosak dan antara kerosakan dialami adalah pecah cermin hadapan, bumbung kemek serta calar.

Mohd Nasri berkata, kejadian hanya membabitkan kerosakan harta awam serta harta kerajaan dan tiada kecederaan dilaporkan.

Katanya tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1953 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Lokasi kejadian adalah jalan lurus satu lorong dan mempunyai lampu jalan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 7:33 PM