Enam kedai sederet dua tingkat musnah dalam kebakaran di Bangunan Jumbo, Jalan Batu Satu, Kudat. FOTO ihsan bomba
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Kudat: Enam kedai sederet dua tingkat musnah dalam kebakaran di Bangunan Jumbo, Jalan Batu Satu, di sini, 1.28 tengah hari tadi.

Kebakaran itu membabitkan beberapa kedai antaranya aksesori kereta, kedai runcit dan restoran.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Katizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.30 tengah hari sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat ke lokasi kejadian.

"Seramai lapan anggota bomba dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kudat ke lokasi kebakaran dan tiba dua minit kemudian.

"Api berjaya dikawal pada 1.56 tengah hari dan kebakaran membabitkan enam kedai sederet.

"Jumlah kerugian masih dalam siasatan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 3:19 PM