Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my


Bachok: Selepas 37 jam dilapor hilang, Nik Abdul Aziz Al-Fathoni Abdunhalim, 6, ditemui lemas di pesisir Pantai Irama dekat Kampung Tanjung di sini, 7.20 pagi tadi.

Mayat mangsa ditemui kira-kira lima kilometer dari tempat dia dilapor hilang selepas mandi bersama abang dan adiknya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar berkata, mangsa dijumpai pasukan bomba dan penyelamat ketika meneruskan operasi mencari dan menyelamat, pagi ini.

Katanya, mayat kemudian mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga.

"Dengan penemuan ini, maka operasi mencari dan menyelamat ditamatkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arwah yang juga anak kedua, tergelincir dan terjatuh ke dalam laut ketika bermain di gigi air Pantai Irama bersama abang, Nik Abdullah Azzam, 9, dan adiknya, Abdul Hadi, 4, pada 6 petang, Sabtu lalu.

Mereka ke pantai itu bersama ibu, Nik Siti Hanifah Nik Ahmad, 40, untuk beridah sempena cuti sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 9:04 AM