Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


Marang: Jenazah Mohd Hisham Wahab, seorang daripada 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi kemalangan bas ekspres di Kilometer 137.4 Lebuhraya Utara-Selatan semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Nering, Kampung Rawai, di sini, kira-kira 10 malam ini.

Jenazah sebelum itu dimandi dan dikafankan di rumah keluarganya dan disembahyangkan di Masjid Kampung Rawai.

Jenazah mangsa dituntut bapanya, Wahab Jusoh, 59, di bilik mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar kira-kira 11 pagi tadi dan tiba di sini, dengan van jenazah pada 6 petang.

Allahyarham Mohd Hisyam maut selepas bas ekspres dinaikinya terbabas ke dalam gaung kira-kira 3.30 pagi dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Selain Allahyarham, seramai 13 lagi turut terkorban, manakala 16 penumpang yang cedera dan parah, mendapatkan rawatan di HPSF.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 10:57 PM