MOHD Noor Mohd Amin (dua kiri) turut meraikan pelajar mengunting rambut secara percuma sempena kembali ke sekolah di Kompleks Rakan Muda Baling hari ini. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


Baling: Lebih 250 murid dan pelajar berpeluang gunting rambut percuma pada program gunting rambut percuma sempena kembali ke sekolah tahun depan anjuran UMNO Bahagian Baling dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO Baling di Kompleks Rakan Muda Baling, di sini, hari ini.

Program itu mendapat sambutan kanak-kanak dan remaja berusia tujuh sehingga 17 tahun di seluruh Parlimen Baling dengan menggunakan khidmat lebih 10 tukang gunting yang berpengalaman.

Muhammad Adrise Nirzwan Abd Raship, 9, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai berkata, dia gembira kerana menjadi orang pertama menggunting rambut secara percuma.

Menurutnya, apabila diumumkan penduduk kampung program gunting rambut percuma dia turut memberi nama bagi menyertai program itu.

"Saya mengambil peluang itu bagi mengurang beban keluarga selain dapat bertemu dengan rakan yang lain.

"Apa yang dilakukan itu dapat membantu kami keluarga yang kurang berkemampuan dapat menyertai program secara percuma. Kalau gunting di kedai dikenakan cas sebanyak RM6," katanya.

Seorang lagi pelajar, Mohd Aliff Aiman Dicky Shafarin, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siong, berkata, program gunting rambut percuma memberi kebaikan kepada kepada kedua-dua belah pihak antara pelajar dan tukang gunting.

"Pelajar mendapat perkhidmatan percuma, manakala tukang gunting juga mendapat rezeki yang daripada pemimpin yang prihatin.

"Saya bersyukur kerana dapat meringankan beban keluarga saya walaupun harga gunting rambut murah di kedai tukang gunting tetapi ia dapat menjimat kos berbelanja," katanya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohd Noor Mohd Amin berkata, program gunting rambut percuma untuk pelajar sekolah diadakan pada akhir tahun setiap tahun sebelum sekolah dibuka.

Beliau berkata, program ini bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa selain memberi peluang mereka berkenalan antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 2:22 PM