ANGGOTA Trafik menahan kenderaan berpendaftaran asing yang mempunyai saman tertunggak. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
ANGGOTA Trafik menahan kenderaan berpendaftaran asing yang mempunyai saman tertunggak. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan operasi saman tertunggak bagi kenderaan warga asing di tiga laluan masuk ke bandaraya ini, bermula hari ini.

Operasi besar-besaran yang berterusan bagi beberapa hari ini membabitkan 200 pegawai dan anggota trafik Bukit Aman serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Pegawai Turus Trafik IPK Johor Deputi Superintendan Roslan Ali berkata, operasi itu dilancarkan bagi mengenalpasti pesalah trafik warga asing yang mempunyai saman tertunggak.

"Setakat ini, kami menumpukan tiga laluan masuk ke bandaraya ini iaitu Lingkaran Kedua Tuas, kawasan rehat dan rawat (R&R) Pandan dan Kilometer 2 Jalan Tebrau berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sini.

"Mereka yang dikesan mempunyai saman tertunggak perlu menjelaskan bayaran saman serta-merta bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 1:31 PM