Oleh Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Semua pesakit kritikal dari hospital yang terjejas banjir di Kelantan akan segera dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, sehingga kini seramai 35 pesakit kritikal dari hospital yang terjejas banjir di negeri itu sudah dipindahkan ke HUSM.

Menurutnya, masih ada tujuh lagi pesakit kritikal akan dipindahkan ke hospital itu dijangka pada hari ini.

"Pesakit kritikal itu membabitkan tiga dari Hospital Kuala Krai, dua dari Hospital Tumpat dan dua lagi Hospital Pasir Mas.

"Pemindahan pesakit kritikal ini akan menggunakan helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bagaimanapun, jika tidak dapat kita akan sewa helikopter dari pihak swasta," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kecemasan Kementerian Kesihatan bagi menghadapi banjir di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 1:16 PM