Kuantan: Polis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai cuba mengambil kesempatan memecah rumah yang tiada penghuni di sekitar bandar ini semasa orang ramai sibuk akibat dilanda banjir.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata, dua suspek yang berusia lingkungan 30-an terbabit ditangkap di Lorong Tok Sira pada 4.45 pagi tadi.

“Sebelum itu dua anggota polis peronda MPV yang sedang melakukan rondaan menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mengenai sebuah kereta yang mencurigakan di lokasi kejadian.

“Anggota polis MPV bergegas ke lokasi kejadian. Kereta suspek kemudian menyalakan lampu dan cuba melarikan diri dengan merempuh kereta polis,” katanya.

Beliau berkata, anggota polis mengejar kereta suspek dan segera mendapatkan bantuan anggota polis MPV lain dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang sebelum berjaya memberkas suspek.

Abdul Aziz berkata, polis merampas kereta yang digunakan mereka dan beberapa barangan yang disyaki dicuri suspek termasuk sebuah televisyen dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk pecah rumah.

Siasatan awal polis juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes pecah rumah dan curi motosikal dan mereka kini ditahan di lokap IPD Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Disember 2014 @ 9:21 PM
Skip this ad x