TIMBALAN Ketua Polis Bachok, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar (dua kanan) meninjau operasi menyelamat di Pantai Irama. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my


Bachok: Budak lelaki enam tahun dikhuatiri lemas di Pantai Irama, di sini, lewat petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Muhammad Khairu Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang awam, pada 6.04 petang.

Katanya, Ketua Operasi Ibrahim Rhoni bersama anggotanya dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, Ketua Operasi dimaklumkan orang awam berhubung kejadian lemas membabitkan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.

"Beliau kemudian mendapatkan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Bharu yang kemudian tiba di lokasi kejadian jam 6.50 petang.

"Usaha mencari sedang dijalankan," katanya.

Difahamkan, mangsa, Nik Abdul Aziz Al-Fatoni Abdul Halim dari Kampung Pulai Hilir Kubang Kerian hilang ketika bermain air seorang diri di pantai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 11:40 PM