Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hmetro.com.my


Muar: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) gantung serta merta lesen Goldstar Express (M) Sdn Bhd.

Ini termasuk kesemua bas bawah pengendali itu susulan nahas yang membabitkan kehilangan 14 nyawa di Pagoh, 3.40 pagi, hari ini.

SPAD dalam satu kenyataannya, berkata tindakan itu bagi membolehkan mereka menjalankan siasatan berhubung kemalangan bas ekspres Alisan Golden Coach.

“Suruhanjaya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit dan memberikan jaminan bahawa siasatan yang mendalam akan dijalankan ke atas tragedi ini,” katanya.

Siasatan akan diketuai Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (MIROS) manakala SPAD akan menyiasat perlanggaran syarat-syarat Kod Amalan Keselamatan Industri (SPAD ICOP).

Menurut SPAD, mereka tidak teragak-agak membatalkan lesen dan permit pengendali jika didapati melanggar keperluan keselamatan yang wajib dipatuhi mengikut syarat Lesen Pengendali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 7:58 PM