AFP

Shanghai: Pemain Chelsea Oscar (gambar) berkata, dia tidak sabar untuk menyertai ‘keluarga barunya’ selepas Shanghai SIPG mengikat kontrak yang disifatkan sebagai rekod kelima terbesar Asia dicatat kelab China itu dalam tempoh kurang daripada setahun.

Pemain tengah Brazil berusia 25 tahun itu dikatakan dibeli pada harga £60 juta (RM328.8 juta) menjadi pemain ternama terkini berada di prestasi kemuncak berjaya dibawa menyertai Liga Super China yang berstatus mewah.

Dia dijangka melengkapkan kontrak itu di Shanghai dalam tempoh beberapa hari lagi, kata kelab China itu yang dikendalikan bekas jurulatih Tottenham Hotspur Andre Villas-Boas.

“Saya amat gembira dapat menyertai SIPG. Ia hari yang penting bagi saya untuk menyertai keluarga baru saya di China,” kata Oscar dalam kenyataan video yang dikeluarkan SIPG.

Selain mencatat rekod pembelian Asia, Oscar juga bakal menjadi pemain termahal dijual Chelsea, mengatasi rakan senegara David Luiz yang dijual dengan harga £50 juta (RM274 juta) kepada Paris Saint Germain pada 2014.

Liga Super China sudah pun membelanjakan lebih daripada AS$400 juta (RM1.78 bilion) untuk mendapatkan pemain tahun ini selepas Presidennya Xi Jinping mahu menjadikan negara itu sebagai kuasa bola sepak.

Pasukan China memecah rekod Asia sebanyak tiga kali dalam tempoh 10 hari pada musim perpindahan Januari-Februari dan terus memecah rekod apabila pemain Brazil Hulk menyertai SIPG dengan bayaran 55.8 juta euro (RM260.7 juta) pada Julai.

Jelas sekali, kelab China kini bersaing dengan pencabar Eropah untuk mendapatkan pemain bertaraf dunia yang memilih gaji lumayan berbanding peluang beraksi dalam liga bola sepak utama. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:10 AM