MOHD Radzaif (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kereta kepada Azmi (dua dari kiri) disaksikan Shamsuddin (kanan) dan Mahmood.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kajang: DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) melalui dua anak syarikatnya, DRB-HICOM Commercial Vehicles Sdn Bhd (DHCV) dan PROTON Holdings Berhad (PROTON) menyumbangkan dua kenderaan iaitu Tata Xenon dan Proton Exora kepada Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan DRB-HICOM, Mahmood Abdul Razak berkata, penyerahan dua kenderaan terbabit adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan dalam berbakti kembali kepada masyarakat yang memerlukan.

“Sebagai sebuah konglomerat dan warga korporat yang prihatin, kumpulan sentiasa peka terhadap kesejahteraan masyarakat khususnya golongan yang kurang bernasib baik.

“Kami berharap dengan adanya kemudahan dua kenderaan ini, ia akan memudahkan pihak pengurusan pihak jagaan untuk membawa penghuni ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan serta pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan berupa dua kereta Tata Xenon dan Proton Exora kepada Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Azmi Mohd Zain.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Mohd Radzaif Mohamed dan Ketua Operasi Jualan DHCV, Shamsudin Ishak.

Mahmood berkata, pihaknya berharap dengan sumbangan yang diberikan ia dapat memberi lebih sinar harapan kepada penghuninya dan memanfaatkan pemberian yang diberikan sebaik mungkin.

“Kita sentiasa merancang pelbagai program CSR dalam memberikan lebih bantuan dan akan terus melaksanakannya pada masa hadapan dengan lebih banyak lagi pusat jagaan akan diberikan perhatian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:04 AM