ESTRANGED kecewa dan malu menjadi mangsa tipu. - FOTO Arkib NSTP
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kumpulan Estranged kecewa apabila tawaran membuat persembahan di Festival Muzik Krismas Apple di Roundhouse Camden, London yang sepatutnya berlangsung Ahad ini adalah penipuan semata-mata.

Estranged yang dianggotai Rich Gimbang (penyanyi), Din Hormatov (gitar) dan Nor Hanafi (gitar) dalam satu kenyataan kepada Harian Metro hari ini berkata, mereka sangat kecewa dan malu terutama apabila berita mengenai persembahan itu sudah dihebahkan di media, awal bulan ini.

Menurut Estranged yang popular dengan lagu Itu Kamu, Yang Pernah dan Hancur Aku ini, mereka ditipu seorang wanita rakyat tempatan yang didapati memalsukan surat tawaran persembahan kononnya daripada Pengarah Apple Music di United Kingdom (UK) iaitu Adam TL Wilson.

Apabila mereka menghubungi Apple Music UK, pihak terbabit mengesahkan ia adalah satu penipuan.

“Kami juga mendapat tahu festival muzik itu sebenarnya tidak wujud. Perkara ini sangat memalukan kami.

“Kami tampil mendedahkan semua ini untuk kebaikan pemuzik lain supaya mereka pun tidak tertipu sama. Silap kami juga kerana terlalu ikut naluri dan percaya kepada individu terbabit," katanya.

Estranged turut membuat laporan di Balai Polis Sri Hartamas, di sini, hari ini.

Harian Metro pada 6 Disember lalu melaporkan Estranged menjadi kumpulan tempatan pertama yang akan membuat persembahan di festival muzik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 4:02 PM