FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, tengah hari tadi, atas kesalahan memberi sokongan dan memiliki imej yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS, November lalu.

Tertuduh Muhammad Shahrir Zamil Musa, 24, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas iaitu Islamic State (IS) dengan cara menggunakan aplikasi media sosialTelegram didalam telefon bimbit miliknya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki imej didalam talian telefon bimbit yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Taman Rumbia Utama, di sini, pada 19 dan 26 November lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.

Prosiding pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Putrajaya Muhammad Fadzlan Mohd Noor memaklumkan kepada mahkamah tiada sebarang jaminan dicadangkan kerana ia membabitkan kesalahan ancaman keselamatan selain memohon tarikh untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian memerintahkan sebutan semula 9 Februari depan selain tiada jaminan ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 2:26 PM