MUNIRAH (dua dari kiri) membetulkan kain pelekat dipakai anaknya, Muhammad Nabil Qayyum Mohd Zaki.
PROSES berkhatan secara tradisional boleh diibaratkan seperti ibu yang baru bersalin.
OTHMAN menunjukkan peralatan digunakan untuk melakukan proses berkhatan.
PERALATAN digunakan tok mudim.
Zuliaty Zulkiffli
rencana@hmetro.com.my


Walaupun pelbagai peralatan dan teknologi berkhatan diperkenalkan di hospital atau klinik, khidmat mudim masih mendapat tempat dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Aura tok mudim masih utuh terutama dalam kalangan bapa yang pernah menggunakan cara tradisional itu ketika kecil.

Walaupun kaedah itu dianggap ‘menggerunkan’ kerana menggunakan peralatan seperti pisau cukur, penyepit, pencucuk, bedak sejuk, ubat bius dan batang pisang selain mengekalkan amalan berpantang yang lama, mudim tetap tidak menang tangan terutama pada musim cuti sekolah.

Seorang mudim dari Kampung Yan, Kedah, Othman Md Amin, 62, mengakui khidmatnya masih diperlukan masyarakat walaupun kini muncul pelbagai kaedah dan peralatan untuk berkhatan.

Lebih dikenali masyarakat setempat dengan panggilan Pak Ndak Man, beliau generasi keempat mewarisi bakat mengkhatankan kanak-kanak daripada bapanya sejak berusia belasan tahun.

Katanya, dahulu kanak-kanak berkhatan pada usia 10 hingga 12 tahun, namun sekarang ada yang melakukannya seawal umur lima tahun.

“Sebaik-baiknya kanak-kanak berusia lapan tahun sesuai untuk berkhatan kerana pada waktu itu mereka sudah dianggap besar dan lebih berani berbanding kanak-kanak yang lebih muda.

“Saya dah biasa dimaki hamun, diludah dan ada yang lari keluar dari rumah ketika hendak memotong ‘anu’ mereka tapi dah lali dengan semua itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Othman yang juga peniaga laksa berkata, aktiviti berkhatan hanya dilakukannya setiap kali cuti sekolah pada hujung tahun kerana kanak-kanak yang dikhatankan perlu berpantang seelok-eloknya dua minggu.

Katanya, dalam sehari dia mampu mengkhatankan 60 hingga 200 kanak-kanak tetapi bergantung pada keadaan kerana rumahnya sentiasa dikunjungi orang ramai dari awal pagi hingga malam.

“Selagi orang datang ke rumah, saya akan buat (khatan). Malah mereka tak perlu buat temu janji pun kerana saya sentiasa menerima ‘pesakit’ dengan bayaran RM68 seorang termasuk ubat.

“Mula-mula saya akan beri air jampi dari buyung untuk kanak-kanak yang akan disunatkan dan letak sikit bedak sejuk pada kemaluan mereka untuk menyejukkannya.

“Dulu saya akan mandikan kanak-kanak ke dalam kolah terlebih dahulu untuk memberi mereka rasa selesa dan melancarkan perjalanan darah. Kini kebanyakan ibu bapa sudah memandikan anak mereka di rumah sebelum datang ke sini,” katanya.

Othman berkata, setiap kanak-kanak yang akan dikhatankan akan didudukkan di atas batang pisang bagi memudahkan proses itu dilakukan.

Katanya, selepas selesai berkhatan, pesakit tidak boleh agresif dan perlu banyak berehat sehingga luka sembuh.

“Mereka juga tak boleh makan makanan yang menyebabkan gatal seperti telur, udang, sotong dan ketam.

“Kalau tak berdisiplin dalam pantang, ia boleh menyebabkan luka itu bernanah serta bentan. Sebab itu saya akan beri ubat untuk disapu di bahagian luka selepas mandi setiap hari,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan berkhatan secara moden lebih cepat sembuh dan tak perlu berpantang terlalu ketat, beliau berkata:

“Sebenarnya mereka silap kerana cara tradisional ini sama seperti ibu baru lepas bersalin. Yang penting jaga luka itu agar cepat sembuh,” katanya.

Beliau yang mempunyai sembilan anak bercadang menurunkan ilmu berkhatan kepada seorang anaknya supaya kemahiran itu tidak luput ditelan zaman.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini beliau belum berbuat demikian disebabkan mereka sibuk dengan kerjaya masing-masing.

“Tok mudim ni kalut (sibuk) masa cuti sekolah saja. Hari biasa saya berniaga laksa,” katanya.

Katanya, beliau pernah dibawa sehingga ke Johor dan Kuala Lumpur untuk mengkhatankan kanak-kanak.

“Ia bergantung pada permintaan orang ramai yang mahukan khidmat saya,” katanya.

Sementara itu, Munirah Ismail, 31, berkata, beliau membawa anak keduanya, Muhammad Nabil Qayyum Mohd Zaki, 8, berkhatan di rumah mudim itu atas pilihan suaminya, Mohd Zaki Yusof, 30-an.

Katanya, ketika kecil suaminya juga dikhatankan oleh Othman, malah ramai ahli keluarga mereka menggunakan khidmat mudim yang sama.

“Khidmat Pak Ndak Man cukup mudah dan proses berkhatan juga dilakukan dengan cepat. Disebabkan itu kami memilih datang ke sini untuk mendapatkan khidmatnya,” katanya yang datang dari Bukit Jenun, Pendang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 12:17 PM