GALERI Seni Lukis Melayu Pulau Pinang himpun artis muda, berpengalaman.
Syed Ismail Syed Abu Bakar
rencana@hmetro.com.my


Galeri Seni Lukis Melayu Pulau Pinang menjadi medan pelukis Melayu di negeri itu menonjolkan bakat dan karya masing-masing, sekali gus menarik pengunjung.

Lebih 200 hasil karya pelukis Melayu di Pulau Pinang dipamerkan di galeri berkenaan di Lebuh Chulia dan kini semakin menjadi tumpuan pengunjung termasuk pelancong asing.

Pembukaan galeri sejak sembilan tahun lalu itu membolehkan pelukis muda dan berpengalaman mengetengahkan bakat seni lukis masing-masing untuk tatapan umum.

Pelukis bukan saja mempamerkan hasil karya mereka, malah jika potret atau lukisan dijual kepada peminat, bayaran 30 peratus akan diberikan kepada galeri bagi tujuan pengurusan.

Pemilik galeri, Abdul Rashid Abdul Razak, 66, berkata, galeri itu mempamerkan pelbagai hasil karya pelukis Melayu yang menggunakan cat minyak, pastel dan kayu arang berharga antara RM200 hingga RM100,000 setiap satu.

“Pengunjung berpeluang melihat lebih dekat pelukis berkarya termasuk ketika melakarkan potret dan melihat cara serta hasil kerja mereka.

“Galeri ini dibuka bagi menghimpunkan pelukis Melayu berkongsi idea dan pandangan dalam menghasilkan karya yang memberikan tumpuan terhadap budaya, adat resam dan masyarakat umum,” katanya.

Menyingkap pembabitan awal Abdul Rashid sebagai pelukis, ia bermula sejak berusia sembilan tahun dan seterusnya berjaya memenangi beberapa pertandingan seperti ‘Facing Out’ ketika masih belajar di Sekolah Jalan Gurney, Kuala Lumpur sekitar 1966.

Bakat seninya terus terserlah hasil bimbingan ayahnya, Abdul Razak Ahmad yang juga pelukis yang berkecimpung dalam bidang ini sejak 1958.

“Hasilnya saya meraih hadiah utama dalam pertandingan melukis potret wajah legenda Mahsuri di Langkawi pada 2002 yang diilhamkan menerusi imaginasi sendiri.

“Saya mahu terus menjadikan galeri ini sebagai tempat untuk pelukis muda menimba pengetahuan dan tontonan kepada masyarakat umum, sekali gus meningkatkan kesedaran untuk mereka menghargai karya pelukis,” katanya.

Beliau berkata, galeri itu turut mempamerkan hasil lukisan pelukis tamu tempatan terkemuka seperti Shamsul Bahari dan Abdul Hamid Shalehuddin serta beberapa artis lain.

Selain itu, katanya, galeri terbabit pernah mempromosikan hasil lukisan bertemakan ‘Aksi Warna’ oleh 12 artis dari Melbourne, Australia dalam usaha menjalinkan hubungan dengan negara itu menerusi lukisan.

Katanya, pameran itu secara tidak langsung mengetengahkan seni lukisan dengan menyasarkan Georgetown merangkumi komuniti dan kebudayaan kedua-dua negara.

Beliau berkata, orang ramai boleh mengunjungi Galeri Seni Lukis Melayu Pulau Pinang yang dibuka secara percuma setiap hari kecuali Ahad mulai jam 11 pagi hingga 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 11:54 AM