SURIRUMAH Vijaya Letchemy, 55, melihat air yang masih bertekanan rendah walaupun bekalan air kembali pulih ketika tinjauan di Flat Danau Kota. FOTO Yazit Razali
BERNAMA
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bekalan air di semua kawasan terjejas akibat kerja penyelenggaraan pencawang masuk utama Bukit Badong, Hulu Selangor, 19 Dis lalu, pulih sepenuhnya.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), bekalan air kepada pengguna secara berjadual mengikut dua zon telah menyegerakan pemulihan bekalan air.

Namum, Syabas berkata beberapa kawasan di Gombak seperti Taman TAR, Ampang Jaya, Kampung Dato Mufti, Menara Mutiara Taman TAR dan Taman Bukit Indah sedang mengalami gangguan bekalan air sementara berikutan kes paip pecah di kawasan berhampiran.

“Segala usaha sedang diambil untuk membaiki paip-paip tersebut dan mempercepatkan pemulihan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Syabas, insiden paip pecah itu adalah kejadian terasing dan tidak berkaitan dengan gangguan bekalan air di kawasan yang terlibat dengan pemulihan berjadual.

“Pemantauan ke atas sistem bekalan air akan diteruskan untuk memastikan kuantiti air mencukupi dan tekanan air optimum di paip-paip utama serta paras air di kolam-kolam memuaskan,” katanya.

Pengguna boleh merujuk www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar ‘mySyabas’, Facebook ‘Air Selangor’ atau Twitter ‘air_selangor’ untuk mendapat maklumat terkini mengenai bekalan air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 10:38 PM