PELANCARAN cawangan TGV ke-34.
Michelle Gun
michelle@hmetro.com.my


TGV Cinemas Sdn Bhd (TGV) baru-baru ini membuka cawangan ke-34 di pusat beli-belah Sunway Velocity yang dilengkapi panggung IMAX terbesar di Malaysia.

Ia menyediakan sembilan panggung yang boleh memuatkan 1,638 penonton, manakala IMAX dilengkapi 287 tempat duduk dengan 40 daripadanya adalah Indulge.

Sebagai pembukaan tirai pawagam TGV Sunway Velocity, peminat kelab Star Wars serta tetamu jemputan khas diberi peluang merasai pengalaman menyaksikan filem Rogue One: A Star Wars Story di IMAX dalam 3D, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TGV Gerald Dibbayawan berkata, pihak syarikat mahu menjadikan TGV Sunway Velocity sebagai panggung pilihan utama ‘kaki wayang’.

“Pengalaman istimewa menonton filem di pawagam ini tidak dapat dibeli dengan wang. Tambahan pula, terdapat beberapa filem besar yang dinanti-nantikan peminat iaitu Fast 8, Guardians of the Galaxy 2, Transformers: The Last Knight dan Star Wars Episode 8,” katanya.

Sementara itu, sempena tayangan filem Rogue One: A Star Wars Story, TGV Sunway Velocity menyediakan gerai khas menyerupai Taytooine Mos Eisley Catina dan menawarkan minuman istimewa.

Selain itu, TGV turut menyediakan kostum watak Star Wars di sudut fotografi bagi penonton mengambil gambar kenangan pada hujung minggu bermula jam 1 tengah hari hingga 6 petang.

Bagi menghangatkan lagi semangat menonton Star Wars, penonton yang datang memakai kostum watak filem itu akan diberikan minuman tin percuma.

Bukan itu saja, penonton yang berkongsi gambar memakai kostum Star Wars di pawagam berkenaan menerusi #tgvcinemassunwayvelocity di media sosial turut berpeluang membawa pulang satu pas filem percuma.

Maklumat lanjut mengenai TGV Sunway Velocity boleh didapati di laman web www.tgv.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 11:41 AM