Syed Faisal (tengah) menyaksikan Mohd Redza Shah (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Dr Clayton.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Bhd (Bank Muamalat) bakal memperkenalkan pelan perniagaan baru tahun depan dalam usaha meningkatkan prestasi perniagaan secara keseluruhan bagi berdepan keadaan pasaran tidak menentu.

Pelan perniagaan itu memberi tumpuan kepada dua segmen utama iaitu fi dan teknologi yang mampu menyediakan peluang pertumbuhan baru bagi kumpulannya pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, pelan perniagaan itu tidak membabitkan modal perbelanjaan (Capex) yang besar serta pengurangan pekerja, sebaliknya menyusun semula kedudukan jawatan dengan lebih menumpukan kepada teknologi.

Beliau berkata, pihaknya membuka peluang kepada sebarang aktiviti penggabungan dan pengambilalihan yang mampu memberi tambah nilai kepada syarikat.

“Saya melihat keadaan pasaran berubah ketara dalam aktiviti perkhidmatan kewangan dan perbankan susulan kemajuan pesat dalam teknologi serta peraturan kawal selia yang lama.

“Justeru, kami menyemak semula pelan perniagaan Bank Muamalat dan sudah memuktamadkannya untuk dilaksanakan pada tahun depan,” katanya selepas majlis perjanjian memorandum perjanjian (MoA) antara Bank Muamalat dan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar, Ketua Pegawai Operasi - Perkhidmatan, Pendidikan dan Pertahanan DRB-HICOM, Datuk Mohamed Razeek Md Hussein, Pengarah Kumpulan - Pendidikan DRB-HICOM, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussein dan Canselor DRB-HICOM University, Profesor Dr Garry James Clayton.

Perjanjian MoA antara Bank Muamalat dan DRB-HICOM University bertujuan membangunkan Program Kepimpinan Eksekutif (ELP) untuk kakitangan Bank Muamalat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 7:30 AM