PEMANDANGAN udara menerusi Helikopter Bomba menunjukkan Kuala Krai yang tenggelam akibat banjir. FOTO Fathil Asri.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Muhamaad Razis Ismail
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Banjir kian buruk apabila bilangan mangsa di Pantai Timur, Perak dan Perlis yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 97,702 orang sehingga 6 petang ini berbanding 92,733 orang pagi tadi.

Di KELANTAN, bilangan mangsa terus meningkat kepada 34,699 mangsa 6 petang ini berbanding 32,383 mangsa 9 pagi tadi.

Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungkan Kota Bharu dan Tumpat ditutup untuk semua jenis kenderaan 5 petang ini, berikutan paras air sungai Kelantan hampir melimpahi jambatan itu.

Sementara itu, kira-kira 195,000 penduduk di jajahan Kota Bharu mengalami masalah bekalan air selepas syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terpaksa menutup Loji Rawatan Air (LRI) di Kampung Puteh dan Pintu Geng di sini.

Di TERENGGANU, mangsa banjir meningkat sedikit kepada 29,082 daripada 7,172 keluarga sehingga 6 petang, berbanding 29,005 (6,979 keluarga) tengah hari tadi.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan, daerah Kemaman mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 19,311 daripada 4,584 keluarga yang ditempatkan di 51 PPS, diikuti Dungun dengan 7,478 membabitkan 2,003 keluarga di 33 PPS.

Beberapa laluan masih ditutup antaranya Jalan Chukai/Air Putih, Jalan Teladas dan Bukit Mentok/Kampung Tempurung di Kemaman serta Jalan Durian Mentagau-Citrus Valley di Dungun.

Di PAHANG, mangsa banjir terus meningkat kepada 28,578 orang daripada 7,244 keluarga, setakat 5 petang ini berbanding 26,795 (7,013 keluarga) pada 8 pagi tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, Kuantan mencatatkan bilangan mangsa tertinggi dengan 17,085 orang daripada 4,674 keluarga ditempatkan di 44 PPS.

Di PERAK,Bilangan mangsa banjir di Perak meningkat kepada 5,065 orang daripada 1,244 keluarga sehingga 5 petang ini berbanding 4,335 orang (1,079 keluarga) pada 8 pagi tadi.

Di PERLIS, Sehingga jam 5 petang tadi seramai 278 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di lima PPS di Perlis.

Laporan dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 104 orang ialah di Abi yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Abi.

Sementara itu, hanya Sungai Repoh di negeri ini yang mencatatkan paras berjaga-jaga dengan bacaan 4.34 meter (m) berbanding paras bahaya 4.6 m.

KEMASKINI 25 Disember 2014, 6.30 petang.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 6:41 PM