AWIE (kanan) bersama Sharulnizad (tengah) ketika sidang media. FOTO Mohd Adam Arinin
Erdiehazzuan Ab Wahid
hmkk@hmetro.com.my


Kota Kinabalu : Konsert Wings 30 tahun 'Live' @ Kota Kinabalu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas Sabtu ini ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Ketua Pengarah K4MI Mutiara Global Sdn Bhd, Datuk Sharulnizad Suboh berkata, keputusan itu dibuat selepas tarikh konsert didapati pada malam Hari Krismas.

"Kami memohon maaf atas penundaan konsert ini yang dijadualkan pada Sabtu selepas tarikh yang dipilih bertembung dengan perayaan Hari Krismas pada esoknya (25 Disember).

"Selain itu, penundaan konsert ini juga adalah atas permintaan orang awam yang menyatakan keinginan untuk hadir namun tidak kesampaian disebabkan bertembung dengan perayaan Krismas," katanya dalam sidang media, hari ini.

Hadir sama Vokalis Kumpulan Wings, Awie dan Pengarah K4MI Mutiara Global Sdn Bhd, Marianne Tsen.

Sharulnizad berkata, pihaknya turut mengakui berasa sedih untuk mengumumkan penangguhan konsert namun bertanggungjawab untuk tidak menghampakan peminat Wings di Sabah.

"Semua tiket konsert yang sudah dibeli akan dikembalikan sepenuhnya dan orang ramai yang sudah membeli boleh menghubungi talian 016-8839769," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 3:43 PM