Budak perempuan berusia empat tahun yang juga mangsa dera teman lelaki ibunya didokong neneknya selepas JKM memperoleh hak penjagaan sementara terhadapnya. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


Sungai Petani: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah memperoleh hak jagaan sementara budak perempuan berusia empat tahun yang juga mangsa dera teman lelaki ibunya, di Flat Paya Nahu, Sungai Petani, sehingga 25 Januari 2017.

Perintah dikeluarkan oleh Majistret Mohd Izham Ali di Mahkamah Majistret di sini, sebentar tadi mengikut Peruntukan Seksyen 19 Akta Kanak-Kanak 2001.

Kanak-kanak berkenaan yang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum ini, dibenarkan keluar dari hospital pada 9 pagi tadi dan tiba di pekarangan mahkamah jam 9.40 pagi diiringi pegawai JKM.

Mangsa kemudian masuk ke kamar mahkamah dengan ditemani nenek serta ahli keluarga lain yang tiba jam 10.15 pagi dan keluar 10 minit kemudian.

Sementara itu, Pengarah JKM negeri Md Noor Chik berkata, selepas mendapat perintah hak jagaan kanak-kanak terbabit terus dibawa ke Rumah Sinar Harapan, Jitra untuk pemulihan buat sementara waktu.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat pemantauan ke atas kanak-kanak berkenaan dari segi kesihatan dan emosi sebelum kanak-kanak terbabit diserahkan kepada warisnya.

"Buat masa ini, mangsa ditempatkan di Taman Sinar Harapan di Jitra bagi kami melihat perkembangan termasuk kesihatan dan emosinya.

"Kita juga akan melihat secara menyeluruh potensi dan kemampuan nenek mangsa sekiranya hak penjagaan diambil alih," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Katanya pihaknya akan mendapatkan perintah baru sekiranya nenek kanak-kanak itu bersedia untuk menjaganya.

"Nenek mangsa ada menyatakan hasrat untuk menjaganya, bagaimanapun JKM perlu meneliti beberapa aspek sebelum memberi hak penjagaan kepada neneknya menerusi perintah baru yang dikeluarkan mahkamah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut, manakala kakaknya yang berusia empat tahun parah akibat dipukul teman lelaki ibu mereka pada 24 November lalu.

Kanak-kanak lelaki terbabit disahkan meninggal dunia pada 9 November lalu dengan mayatnya yang sudah reput disembunyikan suspek di dalam tong ikan di sebuah bilik dekat Flat Paya Nahu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 1:34 PM