PENUNJUK perasaan anti-Trump mengadakan demonstrasi sebelum Badan Perwakilan Pemilih mengundi di Lansing, Michigan, semalam. - AFP

Washington: Badan Perwakilan Amerika Syarikat semalam mengesahkan pemilihan Donald Trump selaku presiden ke-45 negara itu tanpa terpengaruh dengan usaha terdesak oleh penyokong pesaingnya untuk menghalang laluan bilionair hartanah itu ke Rumah Putih.

Enam minggu selepas kejayaan mengejut menumpaskan Hillary Clinton dari Parti Demokrat, Trump yang mewakili Republikan, seperti dijangka memperoleh 270 undi badan perwakilan pemilih untuk menjadikan kemenangannya rasmi, menurut media Amerika Syarikat, sekali gus membolehkan dia menggantikan Barack Obama pada 20 Januari depan.

“Kita berjaya! Terima kasih kepada semua penyokong. Kita secara rasmi memenangi pilihan raya itu (walaupun dengan laporan media yang tidak tepat),” tulis bilionair berusia 70 tahun dalam Twitter sebaik keputusan diumumkan.

Undi Badan Perwakilan Pemilih tidak banyak menjadi perhatian kerana ia hanya bertindak untuk mengesahkan pilihan raya * November lalu dengan kebanyakan pemilih ialah anggota parti yang secara rasmi akan mengundi calon yang memenangi pilihan raya di negeri mereka.

Keputusan pengundian Badan Perwakilan Pemilih itu akan diumumkan secara rasmi di Kongres Amerika Syarikat 6 Januari depan, dua minggu sebelum presiden baru itu mengangkat sumpah. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 11:29 AM